January 27, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Ke Putrajaya hasil Tipu Daya ~ Apakah diberkati Allah?

Saya ketemui grafik ini di laman Twitter YB Tan Sri Dr. Rais Yatim, Yang Di-Pertua Dewan Negara. Tan Sri Dr. Rais Yatim seorang yang ikhlas. Beliau tidak suka cakap berlapik. Apa anda masih ingat video viral berikut?

Tan Sri Dr. Rais seorang pejuang Agama, Bangsa dan Tanah Melayu serta Warisan dan Adat Resam Melayu. Penguasaan bahasa Melayu Tan Sri amat di kagumi dan di raikan masyarakat Malaysia. Saya termasuk seorang peminat Tan Sri Dr. Rais Yatim kerana minat-minat serupa.

Saya ingin berkongsi serangkap pantun yang pernah di ungkapkan Tan Sri Dr. Rais Yatim semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Baju Melayu berbutang dua,
Ada juga berbutang suasa,
Orang Melayu kena peka,
Hilang kuasa, hilang semua!

Bukankah benar apa yang di sampaikan Tan Sri Dr. Rais Yatim!

Bilamana UMNO serta Barisan Nasional tewas di dalam Pilihanraya Umum ke 14 pada 2018 dulu, kita menyaksikan Pakatan Harapan yang di terajui Parti Keadilan Rakyat [PKR] dan Parti Tindakan Demokratik [DAP] serta Parti Amanah Negara [PAN ~ parti serpihan PAS] dan MUDA.

Rakyat yang bosan dengan salah laku para pemimpin UMNO dan BN memilih mengundi PH termasuk saya. Saya memilih mengundi calon PH di kawasan parlimen saya walaupun sedar akan tipisnya peluang Dato Kamaruddin Jaafar berhadapan isteri Anwar Ibrahim, Makcik Kipas Wan Azizah kerana pengaruh gelombang sokongan terhadap Pakatan Harapan sejak Kerajaan Pakatan tumbang angkara ‘Sheraton Move’ geng Muhyiddin Hj Yasin, Haji Hadi, Azmin Ali dan lain-lain.

Anwar Ibrahim masih terus percaya akan janji-janji Tun Dr. Mahathir walaupun sudah kena kencing dengan Tun berkali-kali sebelum ini. Jenis kena patuk beberapa kali tapi masih mangli. Masih menaruh harapan. Sekali, datang la gerombolan yang sudah tak boleh sabar dengan tolak tarik Tun Dr. Mahathir yang kelihatan masih mahu terus berkuasa sebagai Perdana Menteri walau telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim semasa menandatangan perjanjian dengan Pakatan Harapan sebelum PRU ke 14.

Mana-mana kerajaan yang di tubuhkan hasil pengkhianatan dan tipu daya takkan bertahan lama. Muhyiddin Yassin yang di angkat menggantikan Perdana Menteri ke 7, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terpaksa letak jawatan akibat kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen yang menarik sokongan mereka dari Tun turut menerima natijah serupa bila ia menerima nasib yang sama bila Ahli-ahli Parlimen melakukan pengkhianatan yang sama terhadapnya.

Kerajaan Perikatan Nasional yang di terajui Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang bilamana 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka terhadap PM 8! Tak lama mana Kerajaan Perikatan Nasional yang naik berkuasa angkara sabotaj mereka terhadap Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun tumbang sebab Tun liat menyerah kuasa kepada Anwar seperti janjinya kepada PH.

Beginilah jadinya bila kuasa pemerintahan diperolehi melalui khianat mengkhianati dan lidah bercabang! Lain di mulut; lain pula di hati. Berkelakuan seperti Munafik. Tak ada maknanya hidup bertopengkan agama sedangkan hati masing-masing bergelora dengan hawa nafsu, ingin terus berkuasa tanpa ambil peduli akan hukum hakam agama. Matlamat menghalalkan cara!

Lidah tidak segan melafazkan sumpah dan dusta nista semasa berada di pentas politik dan menghadapi sidang media massa. Lain benar pembawaan ahli-ahli politik semasa yang cakap berbelit-belit mengalahkan belitan sang ular sawa! Mereka sudah tidak peduli akan hukum hakam dan beban dosa seseorang yang menipu berkata sesuatu walau bersumpah dengan nama Allah semasa berdiri menghadapi umum.

Yang peliknya, walau sudah terang lagi bersuluh, angkara pemimpin lidah bercabang UMNO dan Barisan Nasional tetap tidak di hiraukan golongan besar ahli-ahli UMNO malah terus tetap di julang sebagai Presiden harapan mereka yang hidup bergantung harap pada cebisan-cebisan wang recehan yang di tabur kepada mereka.

Saudara/Saudari,

Sejak kebelakangan ini, pelbagai onar dan angkara durjana, perlakuan mereka yang saban tahun tak terlepas pergi menunaikan ibadah Haji dan Umrah, kembali melakukan segala kemungkaran siasah seolah-olah tak jadi hal bagi mereka. Dari segi duniawi, mereka bertanggapan telah membersihkan diri dari segala maksiat dan dosa seperti memadamkan segala rekod -rekod dosa sebaik selesai mengerjakan ibadah-ibadah tersebut.

Begitu biasa sudah mereka melakukan segala macam perbuatan-perbuatan khianat dan berdusta seolah ianya sudah menjadi darah daging bagi mereka. Tanpa segan silu atau rasa bersalah, mereka kan tampil di pentas-pentas utama di khalayak ramai dan bersikap bagaikan maksum sedangkan satu dunia kenal akan siapakah diri mereka yang sebenarnya.

Tidak peduli lagi akan soal halal haram setiap perbuatan mereka. Para ‘alim’ dan ‘ulama’ tanahair diam membungkam, membisu seribu bahasa dan tidak berani bersuara atau menentang segala kemungkaran yang berlangsung di depan mata.

Cukupkah sekadar membaca teks khutbah Jumaat yang di sediakan para penguasa dan tidak berkata benar, memperbetulkan keadaan hakiki di dalam kehidupan yang nyata? Apakah itu tugas dan tanggungjawab golongan yang di nobatkan sebagai ‘Ulul ‘Amri’?

Tidak malukah kalian di hadapan Allahu Rabbul Alamin?

Ya, kalian boleh saja menipu diri dengan segala macam pangkat dan kedudukan di alam yang fana, serta teramat sementara ini. Mengelabui diri dengan berasa, dakulah insan teristimewa di tanahair ini tetapi sebaik sahaja ruh masing-masing di rentap keluar oleh Sayyidina Iz’rail Alaihis Salam dari jasad masing-masing, bersedia lah menghadapi hakikat bahawa setiap perbuatan kita di dunia ini ada natijahnya.

Bawa-bawa beringat lah ya.

mahaguru58

Hits: 289