Siapa sangka? Anwar Ibrahim yang begitu beriya-iya nak jadi PM ke 8 Malaysia, akhirnya kena pangkah sekali lagi oleh PM ke 4 dan ke 7, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang semua tahu tak berapa berkenan nak serah kuasa sebagai Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan Malaysia secara mudah kepada Presiden PKR tersebut!
Kalau kita kaji tentang apa yang telah berlaku di antara Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, maka sudah tentu akan kelihatan dengan jelas bahawa sesungguhnya hubungan di antara mentor dan mentee politik ini sudah retak dan renggang sekian lama.
Kita semua tahu bahawa Anwar masuk penjara sekali lagi untuk tempoh 5 tahun selepas disabitkan di atas kes salah laku hubungan sejenis dengan Saiful Bukhari pada tahun 2008. Ini menambahkan lagi tahap ketidakpercayaan Tun Dr.Mahathir terhadap Anwar Ibrahim.
Anwar mendapat pengampunan.
Namun setelah Kerajaan Barisan Nasional tumbang didalam PRU ke 14 pada tahun 2018, Anwar Ibrahim yang tidak berputus asa membuat rayuan demi rayuan melalui peguam peguam nya berjaya mendapat pengampunan dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke 15, Sultan Muhammad V dan dibebaskan tanpa syarat pada 16hb Mei, 2018.
Bukan sesuatu yang mudah dilupakan oleh kita semua. Sekali air bah; sekali pasir berubah. Suasana politik tanahair ini begitu mudah bertukar bilamana percaturan kuasa berlaku didalam arena politik semasa.
Walaupun BN telah berakar umbi sebagai gabungan parti parti politik yang memegang kuasa serta tampuk pemerintahan negara selama 61 tahun lebih semenjak tanahair kita ini merdeka dari penjajahan British pada tahun 1957, ianya tetap boleh dan telah kalah selepas terbongkarnya skandal rasuah dan penyelewengan dana 1MDB oleh PM ke 6, Dato’ Seri Najib Razak serta kroni kroninya.
Pakatan Harapan yang terdiri dari gabungan Parti Keadilan Rakyat [PKR], Democratic Action Party [DAP], Amanah serta Parti Pribumi Bangsa Melayu [PPBM] berpengerusikan mantan PM ke 4, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya memenangi PRU ke 14 dan mengalahkan BN.
Kita sedia maklum bahawa di dalam arena politik Malaysia, Ahli Ahli Parlimen sering mengubah pendirian politik mereka dan sesebuah kerajaan baik di peringkat negeri atau persekutuan boleh tumbang bilamana ada di antara mereka melompat parti dan menyokong pihak yang lain.
Andaikata mereka tidak berpuashati dengan apa yang mereka dapat dari parti mereka dan ada tawaran yang lebih bagus dari pihak lawan, tiada undang undang yang menyekat penghijrahan mereka.
Dengan itu, maka sudah pernah berlaku kejatuhan sesebuah kerajaan negeri sebelum ini dengan perbuatan sesetengah Ahli Dewan Undangan Negeri melakukan sedemikian rupa di Perak dan Kedah.
Kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui PM ke 7, Tun Dr. Mahathir Mohamad terbatal serta merta bila Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM kerana Tun mengatakan tidak sanggup berurusan dengan parti UMNO yang ditinggalkan beliau selepas skandal 1MDB terbongkar.
Langkah Sheraton
Langkah Sheraton bermula bila pihak pihak dalaman parti PKR [pro-Azmin Ali] yang tidak bersetuju dengan usul untuk memperdana-menterikan Presiden PKR Anwar Ibrahim mula berbincang dan berunding dengan Ahli Ahli Parlimen dari UMNO dan PAS serta sebahagian Ahli Ahli PPBM untuk membentuk satu gagasan Perikatan Nasional dengan pencalonan Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Yassin sebagai calon PM ke 8.
Usah cerita lah tentang pengkhianatan Azmin Ali, Zuraida Kamarudin, Tian Chua, Baru Bian dan lain lain pemimpin PKR yang berpatah arang dengan Anwar serta PKR!
Umum mengetahui bahawa pergeseran di antara kumpulan Anwar Ibrahim dan kelompok Azmin Ali telah meredap membara bagaikan api dalam sekam sekian lama ini dan akhirnya meletus membakar tali silaturahim di antara pemimpin pemimpin tertinggi Parti Keadilan ‘Rakyat’.
Usah temberang lah berkata bahawa pemimpin pemimpin politik ini berjuang untuk rakyat begitu begini. Hakikatnya adalah siapa sahaja yang masuk, menceburkan diri di dalam kancah arena politik negeri dan negara, berbuat demikian semata mata untuk mencari habuan duniawi dan bagi mengisi tembolok masing masing.
Buat penyedap telinga je segala laungan laungan ‘hidup rakyat‘ begitu begini sedangkan yang menikmati segala kemudahan dan kemewahan hidup setelah berjaya memegang tampuk pemerintahan dan kuasa politik semata mata adalah ahli politik itu sendiri dan suku sakat yang menyokong nya.
Arena politik di Malaysia dan di negara mana sahaja di dunia ini sebenarnya merupakan medan untuk seseorang ahli politik mendapatkan kuasa dan kedudukan di dalam pentadbiran sesebuah kerajaan baik di peringkat daerah, negeri ataupun di peringkat nasional.
Slogan slogan ‘untuk rakyat‘, ‘demi rakyat‘ dan begitu begini adalah retorik semata mata. Zaman dahulu mungkin pejuang pejuang kebebasan ikhlas bermujahadah demi berjuang melawan penjajah.
Namun di zaman sekarang, segalanya adalah bermatlamat mengisi tembolok masing masing dan menghambat habuan dunia semata mata. Ada pelbagai macam manfaat dan kemudahan yang boleh dinikmati sebagai seorang menteri kanan kerajaan persekutuan!
Cuba dengar apa kata mantan Menteri Pertahanan Kerajaan Pakatan Harapan Mat Sabu, Presiden Parti Amanah Negara bermula minit ke 7:40:
Hidup bersama rakyat, konon! Hehehehe, sembang deraih je brader.
Hakikatnya kalau seseorang itu sudah biasa dengan segala kehebatan dan keistimewaan yang datang bersama sesuatu kedudukan penting di dalam kabinet kerajaan persekutuan, maka ianya akan tetap berusaha sedaya mungkin untuk kembali berkuasa selepas hilang kedudukan dan jawatan.
Bermula lah sekarang Jelajah Harapan oleh mereka yang kini kembali menjadi pembangkang tanpa di jangka atau dirancang. Bukan mudah bagi mantan menteri menteri ini untuk redha kembali hidup tanpa kuasa dan kedudukan berprestij setelah menikmati segala kelebihan dan keselesaan sebagai menteri kerajaan.
Di pentas ceramah, bermodalkan air liur dan kata kata bersemangat yang terdorong oleh nafsu ingin berkuasa kembali, lidah mereka akan kembali berpidato, membakar semangat dan membentuk minda para peminat dan penyokong penyokong gerakan politik mereka.
Kerajaan Pengkhianat! Kerajaan Pintu Belakang!
Begitulah dituduh terhadap Kerajaan Perikatan Nasional yang kini di terajui Perdana Menteri ke 8, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Melayu [PPBM] yang bekerjasama dengan UMNO, PAS serta Kumpulan Pro-Azmin Ali!
Mencaci, menghina, memaki hamun lawan politik mereka yang telah menghancurkan impian mereka untuk terus memerintah setelah hanya 22 bulan berada dipuncak persada tampuk pemerintahan!
Sudah menjadi lumrah alam bagi ahlul politik menggunakan kelancaran kata kata dan retorik mereka didalam usaha mempengaruhi para hadirin setiap ceramah politik mereka demi memungkinkan Pakatan Harapan yang kini tinggal DAP, PKR, Amanah dan sebahagian baki ahli ahli PPBM untuk merebut kuasa semula bilamana Dewan Rakyat kembali bersidang nanti di Parlimen melalui undi tidak percaya terhadap PM ke 8!
Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah tidak lagi di sokong Pakatan Harapan dan segala cakap cakap dan kenyataan media oleh DAP, PKR dan Amanah bahawa mereka masih menyokong Tun Dr.Mahathir untuk terus memerintah sebagai PM Pakatan Harapan sehingga ke PRU ke 15 kini hilang lenyap bagaikan mimpi di siang hari.
Harapan Anwar Ibrahim untuk menjadi PM ke 8, hancur terus menjadi debu dengan perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai PM ke 7 tanpa menyerahkan tampuk pentadbiran Malaysia kepadanya seperti dijanjikan Tun sebelum ini.
Kita sedia maklum bahawa ada perang dingin yang masih berterusan di antara Tun Dr.Mahathir dan Anwar Ibrahim walaupun pada luarannya kedua mereka kononnya telah berdamai dan bersatu didalam arena politik semasa.
Hakikat sekarang adalah Malaysia kini berada di bawah kuasa dan pentadbiran PM ke 8, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Yassin yang telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang Di-Pertuan Agong ke 16 Malaysia, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Al Musta’in Billah Shah.

Peribahasa Melayu lama berbunyi ‘Ayam terlepas; tangan berbau tahi!’
Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan yang terus terpinga pinga dan masih meroyan bagaikan gila talak akan terus berkempen serta memprotes kehilangan kuasa politik mereka sehingga ke PRU ke 15 pada tahun 2023 nanti.
Mereka akan terus melakukan segala apa yang boleh untuk kembali merampas ‘hak’ mereka yang diambil oleh Perikatan Nasional melalui langkah langkah yang terdapat didalam sistem perundangan negara ini atau kembali semula ke jalanan, berprotes dan berdemo ala Bersih 1, 2, 3 dan 4.
Semasa mereka berkuasa, kita menyaksikan bagaimana DAP serta PKR melalui menteri menteri mereka beraja di mata; ber-syaitan dihati!
Masih terkenang pembunuhan anggota bomba, Arwah Adib yang mati dipukul perusuh perusuh Hindu di Kuil Seafield, sampai sekarang tidak ada pembelaan terhadap pembunuhannya.
Masih menyakitkan hati, mengenangkan pembebasan 12 orang penyokong penyokong tegar kumpulan pengganas LTTE oleh mantan Peguam Negara zaman PH, Tommy Thomas.
Ada seribu satu lagi ketidakpuasan hati kita, warganegara Malaysia yang merasakan ketidakwajaran Tanah Melayu ini dibawah cengkaman kuasa mereka yang tidak beriman terhadap Allahu Rabbul Alamin selama 22 bulan itu.
Pengkhianatan PM ke 6, Najib Razak yang kini menghadapi begitu banyak tuduhan didalam skandal 1MDB yang memaksa kita mengundi pembangkang didalam PRU ke 14 dahulu.Taubat lahum kata orang dulu dulu. Tak mungkin kita memilih geng Anti Jawi dan Anti segala yang Melayu dan Islam sekali lagi.
Cumanya di harap Ahli Ahli Parlimen UMNO yang dok merungut berbunyi macam macam tak puas hati dengan pengagihan jawatan jawatan penting didalam Kabinet Malaysia 2020 di bawah pentadbiran PM ke 8, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Yassin ini supaya belajar bersyukur dan redha dengan peluang terbaik yang telah diberikan Allah kepada mereka untuk kembali menjadi sebahagian dari Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional yang menyaksikan ‘sireh pulang ke gagang‘ dan Melayu serta Islam kembali berdaulat di tanahair tercinta ini.
Yakpur yakpursalam diatas ini yang saya maksudkan. Jendalu jendalu ini memang jenis tak reti nak bersyukur dan belajar meneruskan hidup, berpuashati dengan rezeki kurniaan Allah.
Jangankan kerana gelagat mereka ini, Tanah Melayu kembali dijajah oleh golongan yang hanya mahukan Malaysia di bawah telunjuk kuasa politik mereka bagaikan ‘Ular lidi menjadi naga’ dan Melayu ‘Menang sorak; kampong tergadai!’
Bawa bawa beringat lah!
Hits: 3
More Stories
Vivek @ Vivekanandhan, 59, [1961-2021]. Tamil Iconic Comedy Actor has died of a heart attack.
Serangan Anti-Asia semakin menular di Amerika Syarikat! Warga Malaysia harus sedar diri!
Selamat Pengantin Baru Anak Saudara Kami, Nur Fatin Nabila & Helmy Adnan!