December 8, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Keris Warisan Dotcom, Penyambung Warisan Persenjataan dan Busana Melayu

Plaza Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sabtu, 20hb. Julai 2013.


Alam Melayu, satu perkumpulan pencinta Warisan Melayu telah mengadakan satu pameran di ruang Plaza Dataran Merdeka hari ini buat pertama kalinya di ibu negara.




Perkumpulan ini di asaskan oleh Nakhoda Johan Iskandar, jejaka tampan yang berambut panjang berbaju belang dikanan. Yang tersenyum mesra disebelah kiri gambar ini adalah saudara Faliq Faizal. 




Nakhoda Johan telah menubuhkan Alam Melayu bertujuan untuk menyemarakkan kembali rasa jatidiri orang orang Melayu yang semakin lama semakin jauh dari menghayati warisan ketamadunan orang orang Melayu yang pernah disanjung tinggi serata dunia.




Saya menyertai kumpulan Alam Melayu ini sejak beberapa tahun sudah tetapi secara maya sahaja. Hari ini telah ditakdirkan saya dapat bertemu bersua muka dengan kawan kawan saya para pencinta seni warisan pusaka bangsa Melayu, para pewaris dan pejuang adat resam turun temurun di ruang bawah Dataran Merdeka yang kini telah diubahsuai dan dikembalikan peranan sebagai sebuah pusat komersial setelah habis musnah didalam peristiwa banjir besar yang melanda Kuala Lumpur pada 11hb Jun 2007 dahulu!




Kebanyakan ahli ahli Alam Melayu terdiri dari para pesilat Melayu dan dari pelbagai macam perguruan. Ada yang dari Perguruan Silat Sendeng, Silat Gayong, Silat Lincah, Perguruan Pasak Padang dan sebagainya. 


Hubung kait Seni Silat dan Warisan Melayu memang tak dapat di pisahkan dari zaman berzaman. Selagi masih belum Kiamat dan selagi Semenanjung Tanah Melayu ini ujud, maka ketamadunan Melayu yang berteraskan pada Syariah dan Sunnah tetap akan terus dipelihara oleh ahli ahli Alam Melayu dan mereka yang sealiran dan sefikrah dengan kami.




Kesempatan menggunakan ruang pameran di Plaza Dataran Merdeka telah di gunakan perkumpulan Alam Melayu untuk memperkenalkan Warisan Melayu kepada para pelancong asing dan juga pelawat tempatan. 




Mereka melayan dan menjawab soalan dari para pengunjung dan menerangkan tentang asal usul keris dan persenjataan Melayu yang kini sudah tinggal sebagai bahan koleksi persendirian dan pameran di muzium sahaja.




Kami agak hairan juga bilamana kumpulan pelancong dari Guangzhou, Negara China tidak kenal akan sejarah silam Dinasti Dinasti Chin, Ming dan Tang ataupun tentang Maharaja Maharaja China dahulu bila kami bertanya mereka samada ingat ke tidak akan kisah kisah keperwiraan para pendekar China dahulu?




Rata rata mereka tidak kenal akan semua sejarah peradaban negara mereka serta Empayar China dahulu. Sayang seribu kali sayang. Kami takut perkara yang sama akan berlaku pada anak bangsa Melayu yang akan datang. Sebab itulah perlu di hidupkan terus adat resam budaya bangsa Melayu agar tidak pupus ditelan zaman.




Memang lah perkara perkara seperti ini bergantung kepada minat dan kecenderungan seseorang itu terhadap bahan bahan bersejarah. Namun segala sesuatu kegemaran atau kesukaan itu juga boleh dibentuk dari seruan ke arah itu. Artikel ini bertujuan sebegitu juga. 




Semoga khazanah warisan Melayu tidak terus hilang di telan zaman. Sayang lah jika terjadi begitu! Sekarang ni pun dah ramai Melayu yang tak kenal akan apakah dia resam Melayu? Semberono saja meniru gaya orang asing. Rugi!




Mudah2an tuan puan para pembaca budiman dapat menyemarakkan rasa kasih pada pusaka bangsa zaman berzaman ini dikalangan anak anak dan rakan taulan. Insya Allah!




Faliq Faizal ternyata seorang anak muda Melayu yang bagus peribadinya cukup mudah mesra melayan setiap pengunjung yang datang dengan bijak fasih berbahasa Inggeris menerangkan tentang warisan Melayu dan tentang senjata yang di pamerkan. Saya percaya Faliq akan berjaya didalam kehidupannya ini jika terus bersikap dan bersifat demikian. Insya Allah.


Pendekar dibawah ini pula bernama Muhamad Ridhuan bin Haji Borhan dari Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia. Menghunuskan sebilah Keris Sundang dan berperisai Rotan. Zaman dahulu tak guna pistol. Beradu senjata didalam pertempuran secara dekat dan menggunakan senjata tajam.




Mohd Nabil Fikri bin Syamsi menunjukkan kebolehan beliau menggunakan senjata Kerambit. Senjata rahsia yang digunakan sebagai pilihan terakhir dan amat berbahaya. Amat digeruni kerana tidak nampak kelibatnya cuma terasa penangan nya! Harus dimiliki setiap pendekar Melayu yang sayangkan warisan.




Pendekar Tuah Ezam dari Pertubuhan Seni Silat Gayong menunjukkan gayanya menghunus keris! Memang cantik gaya yang ditunjukkan beliau. Syabas!










Tak sempat menanyakan nama pendekar berbadan besar ini tetapi saya muatkan juga gambar beliau sebagai penutup kepada artikel ini. Insya Allah akan saya siarkan wawancara menarik dari para pesilat di atas ini dan juga pandangan pengasas Alam Melayu sebaik kerja kerja menyunting rakaman video berkenaan selesai nanti.


Sehingga ketemu didalam lembaran seterusnya, saya mengucapkan Selamat Berpuasa kepada sekelian Muslimin na wal Muslimat, pembaca blog saya yang di hormati.

Hits: 6