Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Muslimin Muslimat, Saudara SeIslam sekelian.
Syukur Alhamdulillah. Masih dipanjangkan usia kita oleh Allahu Rabbul Alamin, dapat kita menyambut Aidil Adha 1431 Hijrah dengan keadaan aman sentosa didalam negara kita ini dan bersama ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan sesama umat Islam sekelian.
Aidil Adha kali ini saya bersama isteri menyambutnya di ibukota sahaja kerana kami baru kembali dari berkunjung ke Kuantan minggu sudah.
Terasa kurang seronok Aidil Adha tahun ini kerana kami telah kehilangan dua saudara dekat di Kuantan, arwah Pak Busu @ Haji Salamudin dua hari sebelum Aidilfitri dan kehilangan salah seorang ipar saya ~ Arwah Pak Lang @ Mohd Basir yang meninggal dunia akibat sakit jantung pada Raya ke 7, makanya Aidil Adha kali ini kurang lah terasa sambutannya bagi kami sekeluarga.
Namun, menerima hakikat bahawasanya ajal maut tetap akan datang menjemput kita bila bila masa sahaja, maka mahu tak mahu terpaksa kita harungi walau terasa kehilangan sanak saudara tercinta.
Dari satu segi boleh dikira sebagai pengorbanan juga. Berkorban kasih sayang, meneruskan saki baki hidup ini bersama ahli keluarga yang masih ada. Memperkasakan jiwa dan minda untuk terus berada disini untuk mereka yang memerlukan kehadiran kita pula sebagai tempat mereka bergantung kasih sayang dan menjadi tempat mereka mengadu pula.
Sebagai pasangan hidup, kita kena bersabar dan berlapang dada bilamana menghadapi karenah buah hati kita. Sebagai orang tua, kita perlu berhati hati melepaskan kata, membuahkan fikrah agar tidak menyinggung perasaan anak anak yang masih mentah, belum matang dan berdarah muda, cepat melenting menghambur kata tanpa memikirkan akibat atau kesan kata nesta, marah membara, angkara gejolak nafsu murka.
Ini pun satu bentuk pengorbanan juga bagi kita yang berpangkat ayah pada anak anak kita yang masih muda dan mentah.
Mereka belum merasa pahit maung yang telah kita lalui didalam perjalanan hidup kita.
Mereka juga pernah menderita, tersiksa bilamana kita tidak ada disamping mereka semasa mereka amat memerlukan kehadiran kita.
Makanya pengorbanan itu berlangsung pada semua peringkat usia dan didalam kehidupan setiap seorang dari kita.
Masing masing ada pengorbanan yang telah dilakukan demi menjaga hati budi dan keselesaan hidup yang lain.
Nabi Ibrahim Alaihis Salam sanggup mengorbankan putera sulung baginda yang tercinta demi mahu taat sepenuh jiwa dan raga terhadap Allah, Rabbul Alamin.
Saya sangsi samada ada di antara kita manusia Akhirul Zaman ini yang sanggup seperti Nabi Ibrahim Alaihi Salam untuk menyembelih leher anakanda tercinta Nabi Ismail Alaihis Salam, demi menurut perintah Allah?
Tahap pengorbanan kita sudah tentu tidak akan sama dengan apa yang telah Baginda Nabi Ibrahim Alaihis Salam laksanakan?
Namun hanya Allah, Tuhan Semesta Alam yang Maha Mengetahui akan isi hati dan kandungan jiwa kita setiap seorang didalam pengorbanan masing masing?
Hanya Ia Maha Pembalas.
Mudah2an segala pengorbanan kita terhadap sesiapa sahaja dibalas dengan setimpal oleh Sang Maha Pencipta!
Amin, Ya Rabbal Alamin.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillah hil Hamd!
Bersempena dengan Aidil Adha yang mulia ini, ingin saya, Zainol Abideen meminta maaf dari tuan puan seandainya ada sebarang kekhilafan di pihak saya, menyusun jari sepuluh memohon kemaafan anda, para pembaca blog ini yang dihormati.
Mudah2an Allahu Ta’ala membersihkan kita dari segala dosa dosa kita baik yang kecil mahupun yang besar dan memberikan kita Taufik dan HidayahNya untuk menjalani kehidupan ini dan Insya Allah di Yaum al Akhirat kelak.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Berikut adalah rakaman gambarfoto yang sempat saya ambil selepas Solat Sunat Aidil Adha diperkarangan Masjid Al Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur untuk tatapan anda semua.
Pelajar pelajar Kejururawatan Kolej Segi yang tinggal berdekatan masjid tidak melepaskan peluang bergambar kenangan sempena Solat Sunat Aidil Adha tahun ini.
Fenomena biasa di setiap Solat Sunat Aidil Adha atau Aidil Fitri. Bertelekong ke masjid. Ini amalan Muslimah di segenap negara kita Malaysia tercinta. 🙂
Menyakat lembu tertambat adalah satu kesempatan yang tidak mahu dilepaskan kanak kanak yang hidup dipangsapuri berdekatan.
Tak seperti budak budak kampong yang sudah biasa dengan kehadiran lembu, kerbau, kambing, ayam itik, angsa dan sebagainya, budak budak KL ini jarang dapat bermain main dengan lembu seperti ini. Setahun hanya sekali dapat jumpa lembu hidup! Hehehehehe…
Hits: 0
Pasal semua lembu yang nak di korbankan tu semua nya kurus kering…takder daging langsong nak buat sedekah..semua tulang jer…
Entahlah tuan? Saya tengok pun dah naik sedih melihatkan lembu lembu tu dah lah muda , tulang rusuk nampak timbul bersusun.
Siapa lah agaknya si pembekal? Tak pernah bagi lembu lembu ni meragut kat padang kot?
Naik sodeh den tengok! 🙁
Assalamualaikum pak cik .
Saya ni yg tukang ambik gambar pak cik dgn lembu tuh.. :)..ingt lagi tak ?..yang berkopiah bersama isteri saya tuh..
Seronok kenal dgn pak cik.
saya dan isteri bukan dari segi college.:)
Wa'alaikumsalam Ehsan.
Alhamdulillah! Dapat kita berkenalan dari episod mengambil gambar tempohari, kan?
Pakcik ucapkan ribuan terimakasih diatas kesudian Ehsan jadi jurugambar spontan. Sudut bagus tu ambil dari paras rerumput! 😛
Pakcik ingat Ehsan berdua bersama sama kumpulan pelajar kursus kejururawatan Segi College?
Tak mengapalah. Janji Ehsan berdua suami isteri kekal aman bahagia.
Amin.
Alhamdulillah. aturan Allah s.w.t
Kagum dgn tulisan pak cik ( boleh panggil pak cik kan ? ) dalam blog.
Menyentuh pasal agama, ekonomi dan hal-hal semasa.
Teruskan pak cik.
Semoga mendapat ganjaran Allah s.w.t
ini link blog saya dan isteri, kalau ada masa, pak cik boleh baca. http://maknahatiku.blogspot.com/
p/s : Skil ambil gambar tu dalam lama diasah, cuma menunggu masa yang sesuai untuk memiliki kamera DSLR.
Saya dan isteri pelajar perubatan HUKM tahun akhir pak cik.
Selamat Hari Raya Haji saya ucapkan untuk tuan & juga sekeluarga…
Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk zarch sekeluarga juga.
Mudah2an di rahmati Allah selalu.
Salam seperjuangan dan Selamat Maju Jaya!