Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dirgahayu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Negeri Selangor Selangor Darul Ehsan diatas ulangtahun keputeraan Tuanku ke 63 yang jatuh pada hari ini, Jumaat, 24hb Zulhijjah 1430 Hijrah bersamaan 11 Disember 2009 Masehi.
Tuanku,
Kami rakyat negara ini amat mengharapkan Duli Tuanku terus bersemangat memerintah negeri dan negara ini selaras dengan tuntutan amanat perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala ke atas Duli Tuanku dan Sultan Sultan serta Raja Melayu sekelian.
Kami berdo’a agar Duli Tuanku mampu menegakkan Syariah Allah didalam negeri Tuanku ini dan seterusnya keseluruh negara bekas Persekutuan Tanah Melayu ini tanpa rasa gentar atau cuak terhadap mana mana hamba rakyat sekelian di Malaysia ini.
Selagi belum terbit fajar mentari di ufuk Barat, maka kami warganegara ini melafaz ikrar taat setia tidak berbelah bagi selagi Duli Duli Tuanku berpasak teguh di atas Syariat Allah dan menjunjung Warisan Pesaka Turun Temurun 7 Wasiat Kesultanan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini.
7 Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:
- Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
- Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
- Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu Di Raja selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
- Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
- Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
- Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.
- Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Patik mengucapkan Dirgahayu kebawah Duli Tuanku dan mendoakan Tuanku dianugerahi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan segala Taufik dan HidayahNya untuk terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan ini dengan adil dan saksama.
Patik mendoakan juga agar Duli Tuanku terus sihat sejahtera dan dikurnia Ilahi dengan semangat ‘Ulul ‘Amri warisan dari Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam, Rahmatulil Alamin.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Wabillahi Taufik Wal Hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Hits: 0
Daulat Roobku,
Daulat Deenku,
Daulat Rasulku,
Daulat Umie dan abiku,
Daulat Muslimin dan muslimatku