December 8, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Biar ummah hancur ; janji kita dapat kuasai negara?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saya merujuk kepada ‘perang saudara’ yang sedang berlangsung sejak sekian lama didalam negara kita ini di antara dua parti politik terbesar umat Islam Malaysia iaitu UMNO dan PAS.

Di kedua dua belah pihak parti politik yang rata rata ahlinya terdiri daripada majoriti kaum berbangsa Melayu beragama Islam dan sebilangan kecil bangsa bangsa lain seperti India, Cina, dan sebagainya ujud satu perasaan hasad dan dengki mencemburui pencapaian politik satu sama lain.

Yang menjadi penghalang utama kedua parti politik ini bergabung adalah rasa takbur dan ego tahap melampau.

Ego mendabik dada bahawa parti sekian lah yang lebih Islam dari yang lain tetapi di waktu yang sama kedua dua parti gagal menegakkan Syariah Allah didalam ertikata dan pengamalan yang sebenar!

UMNO sejak sekian lama masih gagal menegakkan Undang Undang Syariah Islam sebenar padahal bila kita kaji betul betul, ternyata mereka mampu berbuat demikian jika benar benar mereka ikhlas mahu melihat Islam didalam negara kita dipandang mulia dan disegani oleh baik sesama Islam mahupun rakyat kita yang masih kafir.

Kuasa yang ada pada tangan Sultan Sultan dan Raja Melayu walaupun terhad masih merangkumi keupayaan menegakkan Hukum Hakam Islam selengkapnya tetapi sayangnya masih diperingkat bayang bayang dan tidak ditegakkan menurut perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan menurut tuntutan Sunnah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam.

Kita semua tahu bahawa Hukum Syariah didalam negara kita ini tidak mencapai piawaian Allah Subhanahu Wa Ta’ala didalam ertikata sebenar benarnya.

Mahkamah Tinggi Syariah kita masih terbelenggu dengan seribu satu kerenah birokrasi dan tidak mempunyai kuasa untuk menghukum pesalah pesalah jenayah Syariah mengikut hukum Hudud Allah.

Nak jalankan hukum sebat 6 kali sebatan ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor pun sampai sekarang masih terkial kial bagaikan kura kura patah kaki!

Macamana pihak kafir dinegara ini nak segan terhadap para penguasa di Malaysia yang kononnya mahu menerapkan nilai nilai murni Islam ke atas rakyat amnya?

Bila orang yang mengaku berkuasa ke atas kita memberi seribu satu alasan tidak mampu untuk menjalankan Syariah Allah keatas penduduk negara kita yang kononnya salah sebuah negara Islam termaju didalam dunia ini, siapa yang boleh kita harapkan lagi?

Begitu juga dengan PAS.

Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim yang digembar gemburkan sebagai ‘Serambi Makkah’ juga sampai kehari ini gagal menegakkan Syariah Allah walaupun sudah memerintah negeri dimana penduduknya bermajoriti Melayu Islam sejak 1990.

Kesemua ini dikatakan tertakluk kepada kuasa Parlimen dimana memerlukan undi majoriti untuk meluluskan sebarang pindaan terhadap Undang undang Tubuh Negeri untuk menukar sistem perlembagaan dari sekular kepada yang berlandaskan Syariah Islam.

Memang dah begitu cara penjajah British dahulu merangka dan memaksa keatas Sultan sultan dan Raja Melayu sekiranya mahu merdeka dari penjajahan mereka.

Soalan saya sekarang, apakah tidak ada ruang dan cara untuk negara ini yang kononnya sudah benar benar Merdeka untuk merdekakan diri didalam ertikata sebenar benarnya dan kembali menegakkan Hukum Kanun Melaka yang berlandaskan Syariah Allah?

Zainol Abideen @ Mahaguru58
Kuala Terengganu.
Sabtu 31hb Oktober 2009.

Hits: 0