Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam sejahtera kepada tuan puan, warga Tanah Melayu ini yang saya amat hormati sekelian.
Semalam bilamana saya menziarahi puluhan gerai dan toko jualan barangan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, saya mendapati sebuah toko milik DAWAMA, anak syarikat Dewan Bahasa dan Pustaka Negara.
Saya telah bernasib baik dapat membeli senaskhah Khazanah Pantun Melayu Riau setebal 807 muka halaman yang memuatkan 3608 rangkap pantun pantun Melayu yang menjadi teras penghayatan budaya bangsa sejak zaman berzaman.
Selaku seorang pencinta seni dan warisan Melayu sejak dahulu lagi, maka saya pun bertekad untuk memiliki khazanah warisan bangsa ini.
Saya mahu tuan tuan dan puan puan para pembaca budiman bersama sama saya menghayati warisan pantun pantun ini.
Ini saya terbitkan semula warisan bangsa yang telah kini di tangan saya sekeluarga untuk dinikmati bersama anda pencinta adat resam dan warisan tradisional kita bersama.
Pantun Adat
Kalau berladang kurang tekun,
Lesaplah padi ditelan belukar,
Kalaulah hilang tukang pantun,
Senyap sunyi bandar yang besar.
Ianya memaparkan betapa pentingnya orang orang Melayu menghargai kebolehan berpantun, menyampaikan maksud melalui kata kata yang di olah sedemikian rupa, penuh berisi niat dan hasrat yang tersemat dihati untuk meluahkan rasa, menasihati, menyindir, berseloka dan kadangkala memberi amaran didalam bahasa penuh tersirat dan tersurat, sesuai dengan keadaan dan ketika.
Apa masih ada diluar sana Melayu yang mahu menghargai seni berpantun ini atau adakah ianya kan hilang ditelan zaman, dilupakan oleh anak bangsa yang kebanyakannya kini terdorong gemar menguningkan rambut dan membirukan kanta mata?
Biar kuning rambutmu dan biru matamu, bontotmu tetap perang tanda anak Nusantara yang lupa diri dan keturunan.
Daku berharap bahawa sesiapa jua yang membaca peringatanku ini akan sempat menyampaikan amanat dan harapan mereka yang kini hanya tinggal sejarah, yang mewariskan khazanah bangsa ini untuk dijadikan panduan anak anak kita penyambung salasilah para sasterawan dan karyawan lampau.
Cuba hayati rangkap rangkap ini pula:
Apa tanda budaya Melayu?
Kepada Islam ia mengacu.
Apa tanda Melayu berbahasa?
Kepada Islam ia berpunca.
Tegak Melayu kerana budayanya,
Tegak budaya kerana agamanya.
Dimana tempat Melayu tegak,
Pada sunnah beserta syarak.
Dimana tempat Melayu diam,
Pada adat berintikan Islam.
~~~~~@~~~~~~~~~~~~
Akan kusambung lagi nanti …Insya Allah!
Ada jemputan Aidilfitri lagi petang ini…
Hits: 6
salam tuan.
t.kasih kerana berkongsi pantun tersebut. saya memang minat sangat pantun. itu sebab saya gagahkan juga buat satu blog lagi untuk memuatkan pantun dan lain2 puisi. tak tahu pula tuan juga minat dengan pantun. kalau begitu silah singgah blog saya: puecorgxret.blogspot.com