December 4, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Al Fatihah buat sahabatku ~ Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim (3 Ogos 1969 – 13 Ogos 2009)

Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un. Dari Allah kita datang ; kepada Allah kita kembali.

Semalam, negara kita Malaysia kehilangan seorang insan istimewa.

Insan ‘berdagu getar’ yang telah membawa sinar keinsafan kepada begitu ramai ummah sedunia Nusantara ini yang sempat menghayati erti meraikan kehidupan ini sebagai seorang hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Saya maksudkan sahabat saya yang di antara mereka yang saya amat sayang dan hormati iaitu Allahyarham Ustaz Mohd Asri bin Ibrahim, pemimpin kumpulan nasyid Rabbani yang dahulunya dikenali sebagai kumpulan nasyid Nadamurni.

Ustaz Asri ‘Rabbani’ telah kembali ke rahmatullah semalam setelah rebah semasa mengadakan sesi latihan untuk program Syahadah di RTM.

Saya ketemu arwah pertama kalinya semasa arwah mengadakan persembahan di Tesco Damansara semasa Ramadan beberapa tahun yang lepas dan kemudian bilamana saya ke pejabat Rabbani untuk urusan perniagaan.

Allahyarham adalah contoh seorang insan rabbani yang dikurniakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan kemerduan suara yang boleh meruntun hati siapa sahaja yang mendengarnya.

Kefasihan Allahyarham didalam membaca Al Quran dan mengalunkan bait bait irama nasyid memang terbukti amat istimewa dan dunia nasyid negara sentiasa memartabatkan kedudukan Rabbani diantara mereka yang terbaik didalam negara sama dengan kumpulan nasyid Raihan dan Hijjaz.

Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka kan bersabar menerima ujian Allah ini dan akan senantiasa mendoakan Arwah.

Begitu juga kepada ahli ahli kumpulan Rabbani, sahabat seperjuangan Arwah yang telah sama sama menjadi pendakwah bersama Allahyarham.

Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala merahmati ruh arwah dan memberikannya kedudukan yang dijanjikanNya bagi mereka yang berjuang dijalanNya menyedarkan manusia akan kebesaran Rabbul Alamin melalui penghayatan Al Islam yang suci lagi mulia.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Hits: 2