December 9, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

PPSMI – Kenapa tidak menyediakan pilihan? Aliran Inggeris atau Melayu?

Assalamualaikum.

Warga Malaysia yang dihormati sekelian.

Saya merujuk kepada krisis sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik didalam Bahasa Inggeris yang telah memuncak dengan protes besar2an segolongan orang ramai dan diterajui ahli ahli parti PAS dan PKR baru baru ini di ibunegara.

Saya berada diKuantan pada hari Sabtu yang lalu dan cuma mendapat kabar tentang berita demonstrasi ini melalui internet.

Saya dan isteri pulang bercuti ke Pantai Timur Semenanjung sempena cuti Maulidur Rasul dan seperti kebiasaan kami ‘Jalan Jalan Cari Makan’ selera Pahang dan Terengganu bilamana sahaja ada waktu terluang.

Kami memang gemar bercuti ke bumi sebelah pantai timur semenanjung kerana pilihan makanan tradisional disana dan keindahan alam sekitar dan pantai pantai indah serta belum tercemar sangat lagi.

Perlu bercuti ke sana sekali sekala sesudah berbulan di Kuala Lumpur untuk merihatkan minda, menyihatkan jiwa, menjalinkan ikatan silaturahim dengan ahli ahli keluarga serta anak anak saudara dan cucu cucu tercinta nan lagi dirindui serta membawa diri jauh dari hirok pikok kotaraya metropolitan yang serba mencabar ini.

Tuan tuan dan puan puan sekelian.

Saya rasa perkara ini boleh diselesaikan dengan mudah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dari berdegil dan berkeras mahu menerapkan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik didalam Bahasa Inggeris di keseluruhan sekolah sekolah awam negara, apa salahnya Kementerian Pendidikan memberikan para pelajar negara kita pilihan untuk belajar di sekolah beraliran Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin atau Bahasa Tamil?

Bagi mereka yang cenderung ke arah belajar didalam aliran sesuatu bahasa perantaraan pilihan mereka, dipersilakan mereka belajar disekolah yang menyediakan sistem pembelajaran total didalam perantaraan bahasa yang mereka suka?

Zaman saya belajar sekolah rendah dahulu, saya belajar di Sekolah Inggeris Jelutong, Pulau Pinang. (1965 ke 1970).

Penguasaan Bahasa Inggeris saya mantap, Alhamdulillah.

Bila saya ditawarkan masuk belajar di Sekolah Menengah Penang Free, sebuah sekolah menengah elit dinegeri kelahiran saya, arwah abang sulung saya tidak mampu untuk membiayai pembelajaran sekolah menengah saya kerana dia sendiri mempunyai anak yang ramai yang perlu ditanggungnya dan terpaksa menghantar saya menyambung pelajaran saya di Sekolah Menengah Abdullah Munshi, Jalan Caunter Hall (sekarang Jalan P.Ramlee) yang beraliran Bahasa Melayu.

Namun itu tidak membantutkan pembelajaran saya kerana saya memang minat belajar dan turut menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

Soal orang orang Melayu akan kehilangan kuasa berbahasa Melayu dengan baik sekiranya dua matapelajaran yang terbabit iaitu Sains dan Matematik diajar didalam Bahasa Inggeris bagi pendapat saya adalah amat dangkal sekali.

Orang orang Melayu sendiri harus menyalahkan diri mereka dan kaedah mereka mendidik anak isteri mereka didalam kehidupan masing masing baik dari peringkat termiskin didesa mahupun yang kaya raya dikota kota dan bandaraya bandaraya negara ini.

Saya rasa Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri harus bijak didalam menangani protes sebahagian dari anggota masyarakat ini dengan menyediakan ruang pilihan bagi individu rakyat negara ini untuk belajar didalam sistem pendidikan yang mereka kehendaki.

Kenapa perlu dipaksa dan di-indoktrinasikan sistem pembelajaran mengikut sukatan dan pandangan segelintir dari pihak tertinggi pendidikan negara?

Saya rasa jika tidak dipaksa dan ditukar sistem pendidikan negara ikut suka Menteri Pendidikan bila bersilih ganti, tidak akan timbul masaalah kekhuatiran massa mengenai nasib dan masadepan Bahasa Melayu itu sendiri oleh kebanyakan mereka yang turun membantah, berdemo di jalanan ibunegara kita tempohari.

Jika kita pergi mewawancara kebanyakan dari demonstran jalanan tempohari itu dan memeriksa tahap penguasaan Bahasa Melayu pada diri setiap seorang pembantah itu, saya rasa hanya sebilangan kecil sahaja dari mereka yang benar benar terbukti pejuang sejati Bahasa dan Kebudayaan Melayu yang tulin.

Ini adalah andaian saya melihatkan dari suasana kelam kabut dan tidak teraturnya ‘perarakan aman’ oleh mereka yang mendakwa menang dengan dapat menyampaikan matlamat dan maksud perjuangan mereka itu seperti yang kita dapat lihat pada suara suara pemimpin demonstrasi ‘aman’ mengikut arahan dan telunjuk pemimpin pemimpin parti politik seperti Cikgu Bard dari PKR dan kehadiran beberapa ahli pimpinan tertinggi PAS.

Suara Mahasiswa yang membantah PPSMI ini saya dengar jelas mahu menghapuskan sistem pendidikan berteraskan Bahasa Inggeris didalam dua matapelajaran tersebut.

Sekiranya Kementerian Pendidikan bersetuju menghentikan sistem PPSMI tersebut, apakah pihak mahasiswa negara kita yang mungkin dipimpin oleh saudara penuntut universiti tersebut akan dikira telah berjaya didalam perjuangannya serta rakan rakan siswa yang lain?

Apakah hanya itu matlamat pembelajaran dan pendidikan mahasiswa mahasiswa tersebut?

Saya ingin bertanya apakah golongan mahasiswa ini tidak akan pergi menyambung pembelajaran mereka diluar negara?

Mungkinkah mereka akan memilih untuk tidak menerima mana mana pembiayaan dari pihak kerajaan mahupun swasta untuk menyambung pendidikan mereka dinegara negara barat seperti di UK, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dsbnya yang sistem pendidikan negara negara tersebut berteraskan perantaraan Bahasa Inggeris?

Apakah pula mahasiswa mahasiswi terlibat tidak juga akan memilih untuk pergi menyambung pelajaran mereka di negara negara Arab di Timur Tengah atau ke negara Jepun, Korea dan China?

Bukan saya memperkecilkan kedudukan dan ketinggian nilai dan martabat Bahasa Melayu! Tidak sama sekali! Saya sendiri seorang penggemar sastera dan kebudayaan Melayu Asli. Malah baru baru ini, salah seorang blogger bukan Melayu menempelak pendirian saya yang pada pandangan beliau terlebih Melayu dari orang orang Melayu sendiri didalam penulisan bantahan saya terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ oleh orang orang Kaffir!

Walaupun berketurunan India Muslim didalam ertikata sebenar diri saya, saya mengaku bahawa diri ini pada dasarnya terlebih Melayu dari sebilangan besar warganegara kita kerana saya memang teramat sayang dan cintakan segala sesuatu yang bercirikan warisan dan kebudayaan Melayu sebenar.

Cita cita saya mahu mengujudkan sebuah ‘Kompleks Warisan Melayu’ sebelum saya meninggalkan dunia ini tetapi tidak hanya berciri cirikan identiti Melayu semata mata tetapi berteraskan warisan Islam sebenar pada waktu yang sama.

Wallahu ‘Alam samada cita cita saya itu akan menjadi kenyataan?

Berbalik kepada soal protes anti PPSMI ini.

Saya rasa sekiranya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia kembali memberikan pilihan kepada para pelajar dan ibubapa mereka untuk memilih jurusan dan perantaraan sistem pendidikan beraliran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil kepada anak bangsa negara ini, ianya akan lebih mudah diterima massa dari dicuba paksa akan sekelian masyarakat negara kita untuk belajar didalam suasana tertekan baik dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti!

Hakikat bahawa masyarakat negara ini terdiri dari masyarakat majmuk bukan boleh kita tolak tepi semata mata kerana mahu menurut kemahuan dan impian sang menteri tanpa mengambil kira akan hasrat rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Bagi mereka yang mahukan diri diasuh dan dibentuk didalam aliran Bahasa Melayu secara total, berikan mereka pilihan untuk belajar didalam sekolah tadika, rendah, menengah, kolej, maktab dan universiti yang benar benar berteraskan sistem pendidikan berantara Bahasa Melayu secara mutlak.

Bagi mereka yang memilih untuk belajar didalam suasana perantaraan Bahasa Inggeris, maka sediakan untuk mereka sistem pendidikan sebegitu.

Begitu juga untuk mereka yang memilih untuk belajar didalam persekitaran keseluruhan sistem pendidikan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.

Ini adalah lebih sesuai kita amalkan didalam negara berbilang kaum dan fahaman agama ini dari berkeras berdegil mahukan hanya sistem pendidikan Bahasa Melayu semata mata.

Saya bercakap melalui pengalaman saya sendiri dimana saya melihat kebanyakan graduan yang hanya tahu berbahasa Melayu semata mata dan lemah didalam Bahasa Inggeris dipinggirkan oleh pihak majikan yang selalunya Cina di pihak swasta dan pilihan untuk graduan Melayu untuk mendapatkan pekerjaan disyarikat syarikat bukan Melayu amat terhad pada amnya kerana mereka tidak mahir berbahasa Inggeris ataupun Mandarin bila tamat pendidikan mereka.

Apa salahnya jika kita memantapkan lagi mutu dan kebolehan para graduan Melayu dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang bermutu malah ditambah lagi dengan kebolehan berbahasa Mandarin yang diterimapakai diseluruh dunia?

Macam saya sendiri. Saya boleh berbahasa Melayu dan Inggeris dengan fasih sekali. Saya boleh bertutur dan faham Bahasa Tamil dengan baik tetapi belum tahu membaca dan menulis didalam bahasa ibunda saya itu. Saya faham sedikit pertuturan didalam dialek loghat Hokkien China Pulau Pinang dan sedang belajar Bahasa Mandarin. Saya tahu beberapa ungkapan Bahasa Jepun dan sedikit Bahasa Hindi.

Ini semua adalah kerana adanya minat yang mendalam didalam diri saya sendiri selaku seorang Perunding Program dan juga sebagai seorang Pendakwah Islam.

Saya tidak nampak keghairahan ini didalam sebilangan besar orang orang Melayu untuk sekurang kurangnya mengamalkan kebudayaan Melayu yang sebenar ataupun untuk berbahasa Melayu dengan tahap penguasaan yang boleh kita terima dan banggakan?

Kebanyakan orang orang Melayu hari ini berbahasa Melayu rojak atau diselang selikan dengan perkataan perkataan Inggeris untuk menunjukkan kononnya mereka telah mencapai satu tahap yang lebih baik dari rakan rakan dan keluarga mereka dikampong!

Drama drama swasta kita penuh dengan skrip skrip sebegitu dan kekadang naik menyampah kita tengok Melayu yang berpura pura lebih barat dari orang orang barat itu sendiri!

Tengok sahaja contoh bahasa yang digunakan didalam drama drama swasta baik yang ditayang dan disiarkan di RTM, Astro, TV3, NTV7, TV9 dan sebagainya!

Watak watak drama ini menjadi ikutan kebanyakan orang orang Melayu dan dijadikan contoh gaya berbahasa oleh mereka yang memang teramat handal didalam meniru sesuatu yang memang tidak akan ada nilai seni dan faedahnya terhadap kesinambungan ciri ciri dan warisan Melayu sejagat!

Hanya satu dua orang orang bukan Melayu seperti Karam Singh Walia, Zainol Abideen @ Mahaguru58 dan beberapa orang lagi yang nampaknya masih sayangkan Bahasa dan Kebudayaan Melayu didalam kehidupan seharian kita.

Apa benar segala manusia Melayu yang turun berdemonstrasi anti PPSMI tempohari pejuang Bahasa Melayu tulin?

Apakah mereka benar benar hidup berciri ciri dan beridentiti Melayu zahir dan batin seperti yang kita sangka dan menjangka dari melihat cara mereka begitu hebat sekali menurut telunjuk sebilangan manusia yang berdemonstrasi berulamkan politik semata mata?

Entahlah tuan tuan dan puan puan sekelian.

Yang tampak pada pengamatan saya, isu bahasa Melayu ini telah diperkudakan oleh manusia manusia beragenda politik dan mengorbankan keikhlasan dan semangat anak muda mahasiswa dan mahasiswi Melayu yang bagaikan ‘Menang sorak ; kampong tergadai’.

Saya kira lebih baik bagi mahasiswa dan mahasiswi kita menambahkan ilmu pengetahuan dan penguasaan pelbagai bahasa didalam diri mereka sendiri untuk memudahkan mereka meneroka pasaran kerjaya diluar sana bila tamat pembelajaran mereka dari terus disalahguna sebahagian ahli ahli politik semasa.

Bila dah ‘grad’ nanti, cabaran yang menanti anak anak muda Melayu ini adalah untuk mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakan mereka didalam pasaran kerjaya yang semakin meruncing kerana kemelesetan ekonomi negara dan dunia antarabangsa.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia harus mengambil iktibar dari kemelut ini dan mempertimbangkan akan cadangan cadangan seperti dari saya ini demi kesejahteraan negara.

Bahasa Melayu memang patut digunapakai didalam setiap urusan rasmi negara dan kebudayaan serta adat resam serta peradaban Melayu Asli harus dimartabatkan didalam kehidupan seluruh bangsa Melayu seandainya benar orang orang Melayu sadar akan maksud dan intipati pepatah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’!

Amalkan lah Budaya dan Bahasa Melayu seperti digunakan zaman dahulu tetapi biarlah sesuai dengan keadaan dan kehendak majlis bukan semberono berbahasa ‘istana’ dan bermadah seloka di pasar dan warung kopi pulak?

Segala sesuatu itu ada waktu dan saat penggunaannya sesuai pada keadaan dan ketika.

Saya mahu melihat orang orang Melayu berusaha menambah mutu dan ilmu pengetahuan yang bersesuaian pada diri mereka sendiri dan kembali bersatu demi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam.

Dewan Bahasa dan Pustaka Melayu sudah diam membisu sekian lama. Soal pemuliharaan bahasa dan budaya Melayu harus ditunjangi pihak DBPM kerana menjadi bidang dan didalam tanggungjawab mereka.

Seandainya Melayu leka dengan mengejar resam Barat secara semberono, besar kemungkinan adat resam dan kebudayaan Melayu akan turut tinggal menjadi kenangan didalam muzium persuratan Melayu sahaja.

Cuba kita melihat betapa indahnya susun kata dan maksud tersurat dan tersirat didalam rangkap pantun Melayu berikut:

Sirih Pinang.

Sirih junjung sirih pinang
Sirih kami susun bertingkat
Adat dijunjung pusaka dikenang
Bangsa berbudi hidup muafakat

Sirih junjung sirih pinang
Sirih kuning diberi nama
Adat dijunjung pusaka dikenang
Hidup berbudi muafakat bersama

Sirih kuning sirih dara
Sirih tanya berserta cincin
Hidup beradat aman sejahtera
Budaya lama tetap terjamin

Sirih kuning diberi nama
Sirih tanya berserta cincin
Hidup berunding muafakat bersama
Bangsa mulia budaya dijamin

Orang Jawa turun ke dusun
Singgah sejenak di pinggir kota
Kami bawa sirih tersusun
Sudilah sepiak pembuka kata

Sumber : Percetakan Nasional Malaysia.

Masa depan orang orang Melayu terletak ditangan mereka sendiri. Didalam asyik berpolitik, mengejar pangkat, kuasa dan kedudukan masing masing, jangan sampai ‘Ayam terlepas ; tangan berbau tahi!’

Saya akhiri artikel ini dengan pantun Melayu lama.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Fikir fikirkan lah maksudnya.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh.

Hits: 0