December 8, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Qunut Nazilah – Do`a Mukmin ketika perlu.

Qunut Nazilah

Bacaan Qunut merujuk kepada doa yang dibaca di dalam solat pada tempat yang khusus sewaktu berdiri.

Qunut Nazilah merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut Mazhab Syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan.

Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang belalang dan sebagainya.

Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini.

Bacaan Qunut Nazilah di zaman Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam

Qunut ini pernah dibacakan oleh Rasulullah ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 orang penghafaz al-Quran selama sebulan berdasarkan hadis berikut:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran.

-Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim-

Tatacara Bacaan Qunut Nazilah

1. Qunut ini boleh dibacakan pada tiap-tiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.

Maksudnya: Dari Abi Hurairah radhiyallahu `anhu beliau berkata : “Demi Allah, sesungguhnya aku akan mendekatkan kamu cara solat Rasulullah S.A.W. Maka Abu Hurairah melakukan qunut pada solat Zuhur, Isya’ dan Subuh. Beliau mendoakan kebaikan untuk kaum mukminin dan memintakan laknat ke atas orang-orang kafir”.

Maksudnya: Abu Hurairah radhiyallahu `anhu meriwayatkan bahawa sesungguhnya Nabi S.A.W tidak membaca qunut melainkan apabila beliau berdoa untuk kebaikan seseorang atau mendoakan kehancuran seseorang.

Apabila baginda berkata: “Sami’Allahu liman hamidah” Baginda berkata “Rabbana lakalhamd dan Baginda S.A.W membaca doa”.

2. Qunut ini dibacakan pada waktu iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir.

Diceritakan kepada kami Asim berkata, aku bertanya pada Anas bin Malik tentang qunut, lalu dia berkata sememangnya qunut itu ada.

Aku bertanya samada sebelum rukuk atau selepasnya? Anas berkata selepas rukuk.

Aku berkata lagi, sesungguhnya seseorang telah mengkhabarkan kepadaku bahawa engkau memberitahunya selepas rukuk.

Anas berkata dia berdusta, sesungguhnya Rasulullah S.A.W membaca qunut selepas rukuk
selama sebulan dan diperlihatkannya ketika mengutus satu kaum yang dikatakan mereka itu baik bacaannya seramai 70 orang kepada kaum mushrikin yang telah melakukan perjanjian dengan Rasulullah S.A.W (mengikut riwayat hadis yang lain, 70 orang al-qura’ yang diutuskan oleh Rasulullah tersebut telah dibunuh). Lalu baginda berqunut selama sebulan mendoakan kecelakaan ke atas mereka.

3. Lafaz Do`a Qunut Nazilah adalah seperti berikut:

Maksudnya “ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

4. Sunat ditambah bacaan doa ini selepas bacaan qunut harian.

5. Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan di aminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah.

6. Sebagai peringatan, qunut nazilah hanya dibacakan apabila manusia ditimpa sesuatu musibah. Maka, solat fardhu selain solat subuh tidak dibaca qunut melainkan jika berlaku sesuatu perkara buruk berdasarkan hadis:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut pada waktu selain dari Subuh ketika turunnya sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran.

-Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

***********************************************************************************

Sesungguhnya senjata orang orang Mukmin adalah dengan berdo`a dan kemudiannya dengan usaha yang tepat dan bersesuaian.

Dikala ini umat Islam ternyata sedang alpa dengan segala tuntutan agama dan lupa terhadap sebahagian besar pesanan dan peringatan Nabi Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam.

Kita kini berhadapan dengan suasana genting dimana jumlah umat Islam diseluruh dunia memang ramai tetapi tidak ada penyatuan ummah didalam ertikata sebenar benarnya!

Kita bersolat secara berjamaah tetapi sebilangan besar dari jamaah itu bingkas bangun sebaik sahaja selesai memberi salam terakhir pada kedua Malaikat dikanan dan dikiri bahu kita.

Secara zahiriah, mereka yang bingkas bangun tadi berfikir sudah selesai tuntutan solat bagi mereka tetapi hakikatnya batiniah mereka kosong.

Mereka tidak khusyuk dan menghayati erti solat mereka tadi.

Kebanyakan manusia Muslim terutamanya mereka didalam negara kita terlalu gopoh didalam mengerjakan solat dan amal ibadat lain.

Asar tadi disebelah saya ada melihat seorang tua solat secara ekspres. S

Bagaikan burung belatuk yang cergas mematuk. Ruku tidak sampai dua saat bermakna amat laju sekali bacaan didalam rukuknya itu atau cuma sekali bacaan sahaja sebab mustahil didalam satu saat beliau sudah boleh melafazkan ‘Subhana Rabbiyyal Azhimi Wabihamdih’ x 3 kali ?

Belum sempat saya mahu pergi bertegur sapa dengan beliau, sudah bingkas bangun pergi meninggalkan masjid.

‘Mungkin ada darurat?’ begitulah membisik hati kecil saya. Wallahu `alam bissawab.

~~~~~~~

Tuan tuan dan puan puan yang mulia.

Bertukmaninah iaitu berhenti sebentar di antara rukun rukun solat itu amat dianjurkan Nabi Sallalahu Alaihi Wassallam.

Terkejar kejar didalam solat cuma perbuatan yang sia sia kerna ada saya terbaca tentang Nabi Sallalahu alaihi Wassallam menyuruh seorang Muslim supaya ia mengulangi solatnya tetapi kali ini dengan lebih cermat dan berhati hati kerna solat awalannya itu tidak diiktiraf Nabi sebagai solat yang sempurna!

Apa lah sangat kita hendak terkejar kejar begitu?

Jika sekiranya ditakdirkan Allah, kita meninggal sebaik sahaja kaki kita melangkah keluar dari pintu gerbang masjid atau surau, siapakah yang boleh melewatkan saat kematian atau ajal kita?

Semoga kita lebih berhati hati didalam mengerjakan amal ibadat kita.

Insya Allah!

Wabillahi Taufik Wal hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Hits: 13