March 28, 2024

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Selamat Menyambut Awal Muharram 1430 Hijrah!

Assalamualaikum saudara saudari seIslam dengan saya!

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Menyambut Awal Muharram 1430 Hijrah’ kepada tuan puan bersama pasangan anda serta ahli keluarga yang tercinta!

Semoga tahun baru hijrah ini membawa seribu satu rahmat dan berkat dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala bagi kita semua.

Muslimin dan Muslimat, kita sekarang ini berada di Akhirul Zaman.

Kita sentiasa terdedah kepada pelbagai macam ujian dan fitnah dari musuh musuh kita termasuk dari desakan hawa nafsu kita sendiri. Tidak sunyi diri kita dari menghadapi pelbagai cabaran baik peribadi, spiritual, emosi , ekonomi dan macam macam lagi.

Hidup kita hari ini terdedah kepada segala macam penyakit yang sebelum ini tidak pernah diketahui manusia. Makan minum kita dizaman ini sentiasa terdedah kepada pencemaran dari pelbagai macam punca dan juga disebabkan kelalaian manusia sendiri.

Alam sekitar kita turut tercemar dek kerna sifat rakus manusia yang senantiasa menghancur dan menghapuskan alam semulajadi diatas alasan pembangunan. Bukit bukau diteroka dan hutan simpanan ditebang dan digondolkan diatas alasan membina kediaman eksklusif untuk mereka yang berada.

Hasilnya bumi ini menjadi mangsa dan kehidupan flora dan fauna turut termusnah. Peristiwa gelinciran tanah di Bukit Antarabangsa yang meragut nyawa manusia dan haiwan menjadi satu titik tanda bahawa setiap perbuatan manusia ada natijahnya.

Kalau baik caranya, baiklah hasilnya. Sebaliknya bila alam dicerobohi dengan niat dan hasrat yang tamak dan haloba, maka begitulah yang akan terjadi. Imbangan alam semulajadi akan rosak dan semua kehidupan akan terjejas.

Begitu juga dengan kita ini.

Sebagai Muslim, kita kena sentiasa peka dengan keadaan sekeliling kita. Kehancuran moral dan kealpaan kita terhadap tuntutan agama akan membawa kepada kemusnahan ummah dan kehilangan jatidiri setiap Muslim di Malaysia ini dan juga diseluruh dunia.

Kita tidak boleh leka dengan kesenangan hidup kita dan hanyut bersama sama mereka yang cenderung kepada dunia hiburan sepanjang masa saja.

Ada waktu untuk kita bersuka ria dan ada kalanya kita perlu bertafakur sujud menghadap Allah!

Masaalahnya kita ini senantiasa disajikan dengan pelbagai macam hiburan setiap masa dan ketika sehingga anak anak sekecil tahun dua dan tiga turut dididik menjadi pelapis penghibur tanahair.

Hasilnya kita kini memiliki masyarakat Muslim Malaysia yang hanya Islam pada nama sahaja dan usaha mana mana pihak untuk mendaulatkan Islam didalam ertikata sebenarnya diperangi bukan sahaja oleh musuh musuh Islam seperti DAP dan mereka yang sefikiran dengan mereka tetapi juga dari kalangan pihak Istana sendiri yang mengkhianati amanah dan harapan manusia seperti kebanyakan kita ini.

Oleh kerana itu tuan tuan dan puan puan yang saya amat hormati, marilah kita memperbaharui azam kita untuk memperkemaskan akidah kita. Betulkan kembali mana mana amalan ibadat kita. Fahami ajaran ajaran agama kita dan kembali hidup sebagai umat Islam yang sebenar benarnya dan tidak lagi mengambil mudah akan iman dan amal kita.

Diri ini senantiasa menghadapi cabaran demi cabaran didalam usaha saya membetulkan peribadi saya dan saya sentiasa merindukan keadaan dimana saya dikelilingi oleh sahabat sahabat dan ustaz ustaz saya semasa saya di Pulau Pinang.

Saya rindukan suasana hidup disana kerana saya akan sentiasa berada di Masjid Kapitan Keling dan dapat menjalankan aktiviti dakwah bersama kawan kawan saya Haji Mohd Yassin, seorang murid sufi Syaikh Nazim, rakan seperjuangan saya Haji Kamaruddin Abdullah, Pengerusi Islamic Propagation Society International, Imam kami Datuk Syeikh Abdullah Bukhari, Ustaz Haji Abdul Latif, dan ramai lagi rakan dan taulan saya yang sentiasa bersama saya mengimarahkan masjid kesayangan kami itu.

Hidupnya saya di Kuala Lumpur ini ada kalanya terisi juga dengan sokongan dan sambutan dari tuan tuan yang sefikrah dengan saya dan saya terasa kasih sayang dari anda semua untuk terus bermujahadah dilaman blog ini demi mendaulatkan Islam dan kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan Muhammad al Mustafa, Habibullah Sallalahu Alaihi Wassallam.

Terimakasih saya ucapkan pada semua diatas sokongan anda ini.

Saya ingin juga mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf sekiranya ada tulisan saya yang mengguris perasaan sesiapa diantara tuan tuan dan puan puan seIslam dengan saya.

Hanya Allah Azza Wa Jalla sahaja yang Maha Sempurna dan hambanya ini hanya segenggam tanah yang kini hidup diatas Izin dan EhsanNya.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh.

Selamat Menyambut Awal Muharram 1430 Hijrah!

Abdillah,

Zainol Abideen.
Bandar Tun Razak,
Kuala Lumpur.

Visits: 1