December 3, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Pengkebumian Allahyarham Nasir Tan Sri P.Ramlee

Al Fatihah.

Pada 18hb Disember 2008, Nasir P.Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada usia Arwah 55 tahun. Punca kematian dikatakan akibat sakit jantung dan juga dari punca kesan penyakit kencing manis yang dihidapi arwah sejak beberapa tahun yang sudah.

Ini semua sekadar asbab saja. Bilamana sampai saja ajal kita, maka tak kiralah samada kita ni sedang sihat ataupun sakit. Maut itu pasti menjemput kita. Insya Allah.

Pagi Khamis, selepas menghantar isteri saya ke tempat kerjanya, saya pun menelefon Datuk Aziz Sattar, seniman komedi dan sahabat Allahyarham P.Ramlee untuk memastikan tanah perkuburan mana yang akan dikebumikan jasad Allahyarham sebab ada kekeliruan yang ditimbulkan oleh beberapa suratkhabar melaporkan bahawa Allahyarham Nasir akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota?

Datuk Aziz Sattar mengesahkan bahawa Arwah Nasir akan dikebumikan berdekatan Allahyarham ayahandanya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di tengah ibunegara Kuala Lumpur, sepelaung sahaja dari KLCC. Waktu pengkebumian dijadualkan pada jam 11.00 pagi ini.





Saya tiba di kawasan tanah perkuburan tersebut sebelum jam 10.00 pagi memandangkan pagi semalam aturcara saya bebas dan tidak ada urusan atau temujanji dengan sesiapa.

Saya memang tidak pernah ketinggalan menghadirkan diri di majlis majlis pengkebumian umat Islam baik di kampong saya di Pulau Pinang mahupun setelah berhijrah ke Kuala Lumpur ini atau bilamana dikabarkan akan kematian saudara mara atau kenalan saya di Kuantan, Pahang.

Sewaktu saya tiba di perkarangan pintu masuk ke kawasan perkuburan Jalan Ampang, ada tiga lelaki Melayu Muslim sedang berdiri disebelah sebuah kereta berbual bual menantikan ketibaan van jenazah yang akan membawa jasad Allahyarham Nasir P.Ramlee untuk disemadikan di sebelah pusara arwah ayahanda tercintanya itu.

Salah seorang lelaki itu saya kenal sebagai seorang pelakon drama tv. Saya memberi salam kepada mereka dan turut berbual bual dengan mereka sebelum masuk melangkah ke tanah perkuburan.

Selang tidak berapa lama kemudian tibalah rombongan keluarga Allahyarham Nasir dengan usungan keranda Arwah memasuki kawasan perkuburan dan menuju ke liang lahat yang telah sedia digali oleh penggali kubur yang bertugas.

Saya turut mengangkat keranda arwah bersama sanak saudara Allahyarham Nasir P.Ramlee menuju ke kuburnya. Anak anak Arwah Nasir seperti Zakaria dan adik beradiknya turut hadir menjalankan tanggungjawab mereka menguruskan pengkebumian ayahanda mereka.

Adik Arwah Nasir iaitu Sazali turut berada bersama ahli keluarga mereka.

* Sila klik pada gambar gambar ini untuk melihat paparan yang lebih jelas didalam tetingkap baru yang lain.

Diantara para hadirin ke majlis pengkebumian Arwah adalah beberapa tokoh dunia seni filem, drama dan muzik tanahair seperti seniman Datuk Aziz Sattar, seniman Datuk Mustafa Maarof, pelakon drama dan filem terkenal Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, penyanyi lagu lagu ala Hindi Datuk Irwan Shah @ DJ Dave, pelakon komedi veteran Datuk Yahya Sulong, penyanyi lagu lagu asli Melayu Deli dan lagu lagu tradisional dangdut dan berirama Jawa Herman Tino, penyanyi popular zaman 80an Hail Amir, penyanyi lagu lagu Melayu asli Samsudin Lamin, Seniwati Mariani, pelakon drama tv Zulkifli Zain, pelakon komedi Abon, penggubah lagu Yusnor Ef, dsbnya.

Tahniah saya ucapkan kepada semua yang hadir menunaikan tanggungjawab Fardhu Kifayah terhadap sesama Muslim.

Salah seorang tokoh penerbitan filem Melayu klasik iaitu Datuk L. Krishnan turut hadir memberikan penghormatan beliau yang terakhir kepada Allahyarham Nasir P.Ramlee.

Tahniah Datuk!

Upacara pengkebumian Allahyarham Nasir P Ramlee berlangsung dengan sempurna dan segalanya berkesudahan dengan elok tanpa sebarang masaalah kecuali ada sekali itu balu Arwah pengsan seketika kerna terlalu terkesan dengan peninggalan arwah kembali ke alam baqa.

Beliau di tenangkan dan dipulihkan oleh sanak saudara yang ada serta anak anaknya. Saya turut menasihati beliau supaya menerima keadaan dan takdir Ilahi ini.

Saya sarankan beliau supaya berbanyak banyak berdoa dan menghadiahkan bacaan Surah Yassin serta Al Fatihah kepada arwah suaminya. Alhamdulillah, ia sudi menerima nasihat dan pesanan saya serta orang orang lain yang turut hadir.

Sesudah bacaan talqin dan do’a selamat oleh Imam yang hadir, sekelian hadirin bersalam salaman dan beransur ansur meninggalkan kawasan perkuburan.

Saya sempat berkenalan dengan adik Arwah Sazali, anak angkat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenar beliau iaitu Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh ( Lahir 22hb Mac 1929 ; Kembali ke Rahmatullah pada 29hb Mei 1973).

P. Ramlee meninggal dunia ini pada usia beliau cuma 44 tahun. Arwah anakandanya Nasir meninggal sesudah berusia 55 tahun.

11 tahun lebih lama dari usia arwah Allahyarham ayahanda nya.

Takdir Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sama samalah kita mendoa’kan selamat ruh kedua mereka dan juga untuk sekelian muslimin dan muslimat baik yang masih hidup mahupun yang sudah kembali ke Rahmat Allah. Amin.

Al Fatihah!

Hits: 70