December 3, 2023

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI 1429H

Assalamualaikum semua.

Ini posting terakhir menjelang pemergian saya suami isteri menuju ke destinasi kami iaitu kampong isteri saya di Kuantan, Pahang Darul Makmur hari ini, Insya Allah.

Bagi tuan tuan dan puan puan yang sama sama merancang pulang ke kampong halaman masing masing hari ini, saya ucapkan ‘Selamat Memandu’ dan saya berdo’a agar anda selamat sampai ke kampong masing masing.

Saya tidak tahu samada saya berkesempatan melayari internet selama saya di Kuantan maka saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ‘MAAF ZAHIR & BATIN’ dari anda para pembaca blog ini jika ada sebarang kekhilafan dari saya, hamba Allah Subhanahu Wa Ta’ala selama saya menulis dan mengendalikan halaman maya ini.

Sesungguhnya kita tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan itu tanda bahawasanya kita ini manusia.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala Pencipta kita terlebih maklum akan keadaan kita ini sebab itu Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengirim begitu ramai para Nabi nabi dan Rasul Mursalin untuk membimbing mereka yang hidup sebelum kita.

Nabi Allah Muhammad Sallalahu Alaihi Wassallam, Rasul kita yang merupakan Rahmatulil Alamin telah meninggalkan Amanat Baginda didalam bentuk Hadis hadis yang sahih sebagai panduan bagi kita semua disamping Kitab Suci Agung, Al Quran Al Karim sebagai pelengkap Panduan Hidup bagi seluruh manusia yang mahu beriman terhadap Allah Azza Wa Jalla lebih dari seribu empat ratus empat puluh tahun nan lalu (mengambil kira 13 tahun Rasulullah Sallalahu Alaihi Wassallam berdakwah di Makkah al Mukkarrammah sebelum Hijrah ke Madinah al Munnawwarrah> 13 tahun + 1429Hijrah = 1442 tahun sudah turunnya Al Quran dengan lengkap dan juga tersusun nya Hadis hadis Nabi oleh para Sahabat Rasulullah Ajma’in).

Walau pun kita kini tidak mempunyai sesiapa yang boleh kita panggil sebagai Khalifah Allah selepas hancurnya sistem Khalifah Othmaniah pada tahun 1924 angkara Kamal Ataturk si Laknatullah durjana itu, kita masih mempunyai daya usaha sendiri mencari kebenaran Islam didalam kehidupan duniawi kita ini dengan mempunyai peluang menimba `imu dilaman laman web dan blog blog agama yang berpegang teguh pada ajaran ajaran Islam dan berpandukan ulamak ulamak seperti Prof Datuk Dr.Harun Din, Sahibus Samahah Dr.Mohd Asri Zainal Abidin Mufti Perlis Darul Sunnah, Mufti Perak Sahibus Samahah Datuk Harussani Zakaria, Ustaz Shamsuri Hj. Ahmad, Datuk Abdullah Bukhari, Imam Besar Masjid Kapitan Keling, dan lain lain lagi di tanahair kita.

Islam akan tetap unggul selagi kita sebagai umatnya teguh berpaksikan hidup kita pada pegangan kepada tali Allah iaitu Al Quran dan Sunnah Rasul berpandukan Kitab kitab Hadis Sahih seperti susunan Kitab Hadis Bukhari dan Muslim serta yang lain lain.

Pertahankan akidah kita sebagai Muslim dan Mukmin sejati dan usah khianat kepada sesama Ummah dengan bersekongkol dengan sesiapa sahaja yang ingin menjahanamkan kita demi segenggam uang, pangkat kekuasaan politik dan kedudukan duniawi yang sementara ini.

Berwaspada terhadap mereka yang sanggup menjual prinsip prinsip dan nilai nilai agama Islam kita nan maha suci ini dan tidak memikirkan natijah pengkhianatan tersebut terhadap masadepan ibubapa, isteri, anak anak dan cucu cicit kita serta ahlul keluarga kita nan tercinta.

Didalam Kitab Shahih Bukhari Bab Kitab `Ahkam. Bahagian 2, Hadis # 2200, Mukasurat 1024, Hadith diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu Anhu, Rasul Sallalahu Alaihi Wassallam dilaporkan telah bersabda :

“Kamu (yakni umat Islam) akan cenderung terhadap mendapatkan kekuasaan memerintah (menjadi Sultan, Presiden, Perdana Menteri, Yang Di-Pertua itu dan ini) yang kelak akan menjadi punca kekesalan kamu pada Hari Pembalasan ( Yaum al Akhirat)……”

Sadaqa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam.

Tuan tuan puan puan sekelian.

Kita sedang menyaksikan keadaan yang digambarkan Rasullullah Sallalahu Alaihi Wassallam seribu empat ratus lebih tahun itu kini menjadi kenyataan yang benar benar sedang berlaku ditanahair kita sendiri!

Manusia rakus berebut kuasa melalui apa cara sahaja dan tidak redha dengan apa yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah mengurniakan kepada mereka?

Sudah dapat pangkat dan kedudukan itu dan ini, maka matanya mulai meliar melihat tahap yang lebih tinggi lagi.

Sudah sampai kepuncak singgahsana, maka matanya meliar pula mengintai kerajaan negeri atau negara lain.

Macam orang sudah berbini lawa, sesudah habisnya bulan madu, maka menggatal lah pula mata keranjangnya mengintai anak dara atau isteri orang lain pula!

Saya tidak hairan dengan nafsu manusia manusia dizaman ini sebab segalanya telah sedia dirakamkan didalam Surah Wal Asr ( Demi Masa).

Tepat sekali segala apa yang diperturunkan Allah Tuhan Semesta Alam mengenai perangai manusia yang senantiasa berada didalam kerugian. Melainkan mereka yang mengerjakan amal salih dan sabar didalam kerja kerja menasihati sesama insan lain.

SadaqAllah Hal Azhim!

Renungilah maksud maksud yang tersurat dan tersirat didalam Ayat Ayat Suci Al Qur’an Al Karim dan fahamilah segala apa yang diamanatkan Nabi Muhammad Al Mustafa kepada kita.

Hidup kita ini adalah di antara 5 waktu sahaja tuan tuan dan puan puan.

Terlalu cepat waktu berlalu dan ada kemungkinan bahawa mungkin sekejap lagi akan tiba Malaikatul Maut Saiyidina Izra’il Alaihis Salam menjemput kita kembali ke Rahmat Allah?

Sudah bersediakah kita menuju ke Alam Barzakh dan seterusnya ke Alam Baqa?

Mana mungkin kita minta Saiyidina ‘Izrail Alaihis Salam ‘postpone appointment’ kita itu dengan Allah Azza Wa Jalla?

Tidak ada istilah ‘bisa di atur pak’ atau ‘ Alah Brader…kita boleh slow talk aa?’

Tidak terawal barang sedetik atau terlewat sesaat jua ajal kita kalau sudah tiba waktunya!

Renung renungkan lah barang sejenak pesanan saya ini sementara saya bermusafir ke Kuantan, menemui sanak saudara kami, bersyukur bersama sama diatas ihsan Ar Rahman mengurniakan kesempatan berHari Raya bersama keluarga tercinta.

Sekali lagi saya memohon maaf zahir dan batin diatas sebarang keterlanjuran dan kesilapan saya selama menulis secara ikhlas fisabilillah disini.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillah hil hamd.

Abdillah,

Zainol Abideen.

Hits: 0