March 29, 2024

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Perintah Allah SWT untuk kita mengerjakan Solat

Assalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh.
 
Tuan tuan dan puan puan sekelian.
 
Saya menerima satu panggilan telefon dari salah seorang pembaca blog saya dari selatan tanahair, mengadu hal tentang sikap kedua mertuanya yang tidak mahu mengerjakan solat.
 
Saya tidak akan menyiarkan butiran tentang pemanggil tersebut namun apa yang beliau timbulkan adalah satu perkara yang sebenarnya amat serius dan memang berlaku secara meluas didalam negara di bawah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional yang sekian lama mengaku bahawa Malaysia ini sebuah ‘Negara Islam’!
 
Jika diteliti memang ramai orang orang yang mengaku diri sebagai Muslim amat kurang mengerjakan solat 5 waktu!

Ada yang solat cuma pada hari Jumaat sahaja.
 
Ada yang solat setahun sekali iaitu pada Hari Raya. Itu pun cuma solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
 
Yang lebih menyakitkan hati saya adalah makluman dari pembaca blog saya itu bahawa ayah mertua beliau yang berusia 70an mencabarnya mengemukakan ayat-ayat didalam Al Qur’an dimana ada perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyuruh manusia Muslim bersolat?
 
Saya hairan macamana ada lagi manusia seperti ini yang nama sahaja Muslim tetapi boleh terus berada didalam kekeliruan yang sedahsyat ini , berani mempertikaikan suruhan Allah Subhanahu Wa Ta’ala iaitu solat?
 
Sesudah kita mengucap dua kalimah shahadat sebagai tanda keislaman kita, perintah Allah adalah untuk kita solat! 
 
Suruhan ini diamanahkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassallam didalam peristiwa ‘Israk Mikraj.
 
Tidak kah orang tua itu pernah mempelajari tentang Peristiwa ‘Israk Mikraj’ yang terakam didalam Kitab Al Qur’an Al Karim itu sendiri?
 
Inilah akibatnya jika usia muda disia-siakan dengan hal ehwal duniawi sehingga bab agama dilupakan sama sekali?
 
Macam lah kita ni semua akan terus hidup sahaja?

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Lihatlah sebaik baik kematian yang menjadi rezeki seorang hamba Allah ini yang meninggal semasa sedang sujud ketika bersolat didalam Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah! Husnul Khatimah. Sebaik baik keadaan ketika meninggalkan dunia ini.
 
Saya berharap semoga orang tua mertua pembaca blog saya itu akan mendapat Taufik dan Hidayah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Amin Ya Rabbal Alamin.
 
Jika adalah diantara pembaca artikel ini yang sama sewaktu dengan orang tua tersebut maka saya nasihatkan supaya ambil lah iktibar dari keadaan sekeliling kita dimana manusia semakin sesat dan menuju kehancuran.
 
Elok eloklah bawa bertaubat dan memperkemaskan diri bersiap sedia untuk kembali kepadaNya!
 
Sementara itu bacalah artikel yang menceritakan tentang perintah Allah kepada kita untuk mengerjakan solat terhadapNya.
 
Solat Khusyuk Jiwa Tenang oleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my

Dalam al-Quran ada lebih 25 tempat ayat yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat manakala perkataan solat itu sendiri lebih 70 kali disebut, menunjukkan betapa pentingnya ibadat berkenaan.

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu berasa tenteram maka dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (An-Nisa’: 103)

Kesedaran umat Islam semakin meningkat kerana boleh dikatakan semua tahu bersolat, sama ada secara berjemaah atau bersendirian.

Tinggal lagi, kadang-kadang solat yang dilakukan tidak khusyuk, malah terlewat waktu dan tertinggal disebabkan alpa dengan urusan masing-masing dan kurang prihatin terhadap tuntutan agama.

Mungkin disebabkan jahil mengenai hikmah dan keistimewaan solat membuatkan sesetengah pihak memandang ringan tuntutan pelaksanaan ibadat itu, kurang tertarik terhadapnya.

Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syaikh Ismail Muhammad, berkata solat sangat di tuntut dalam Islam, kerana menjadi tiang agama dan ia membezakan di antara Muslim dan kafir.

Malah, ibadat itu amalan pertama disoal di alam kubur dan sekiranya individu itu dapat menjawab dengan baik persoalan solat, dipermudahkan lagi persoalan lain.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (Thabrani)

Syeikh Ismail menegaskan, banyak keistimewaan mereka yang memelihara solat, umpamanya terasa seperti berada dekat dengan Allah dan disayangi-Nya, malah dipermudahkan segala dihajati walaupun tidak dikabulkan segera.

“Orang yang mengerjakan solat bukan saja diberikan ganjaran baik, malah mendapat keberkatan dalam kehidupan, berasa lapang dan jika ada isteri, tidak memberikan masalah, malah anak-anak berkelakuan baik.

“Tetapi bagi yang tidak solat hati tidak tenteram, diri berasa seperti berhutang, kerana tidak melaksanakan tuntutan Allah,” katanya.

Aspek keberkatan ini sesuai dengan penegasan Allah di dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Katanya, Rasulullah s.a.w apabila ada masalah akan melakukan solat sunat dan ia sangat baik dijadikan contoh bagi umat Islam sebagai amalan penyejuk hati.

Solat sebenarnya ibadat paling agung yang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah, sebagaimana dijelaskan dalam Surah Thaaha, ayat 14, bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Ibadat itu juga dapat menghapuskan dosa, sebagaimana difahami dalam satu hadis bermaksud: “Dari Abi Hurairah r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)

Syaikh Ismail berkata, solat dilakukan dengan khusyuk juga mencegah orang yang melakukannya daripada kemungkaran.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Katanya, untuk mendapatkan solat yang khusyuk seseorang itu perlu mengelak daripada hasutan syaitan dan memberikan tumpuan penuh ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

“Memanglah, apabila solat pasti syaitan datang menggoda kita, tetapi kita jangan layan. Sebab itu, antara kebaikan bagi mendatangkan khusyuk ialah kita mengetahui maksud bacaan kita dalam solat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekiranya perkara buruk masih juga berlaku, menunjukkan solat yang dilakukan individu terbabit tidak dapat mendidik dirinya kerana lazimnya mereka mengerjakan solat dengan baik malu melakukan perkara buruk.

“Jika masih berlaku benda buruk yang tidak sepatutnya, individu terbabit kenalah bermuhasabah semula, cuba perbaiki lagi solat, biar ia sebati dengan diri, barulah iman meresap balik dan paling penting kena ada istiqamah,” katanya.

Katanya, solat fardu tidak boleh ditinggalkan, sebaliknya wajib dikerjakan dalam apa keadaan sekalipun, sama ada berdiri dan jika tidak berkuasa dengan cara duduk, berbaring serta isyarat dan hati.

“Mereka yang tidak solat, tetapi masih mempunyai kemewahan, harta berlimpah ruah, malah cakap juga besar itu dipanggil istidraj, iaitu dihulurkan juga rezeki oleh Allah tetapi sampai satu masa jika dikehendaki Allah ditarik rezekinya,” katanya.

Ayat 132, surah Thaaha, bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Sumber: Harian Metro

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Rebutlah peluang mengerjakan amal ibadah didalam bulan Ramadhan yang suci ini dan minta ampunlah terhadap segala dosa dosa yang telah dilakukan dahulu.
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala Maha Pengampun. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berjanji untuk mengampunkan segala dosa-dosa kita walaupun jika dosa-dosa kita terlalu banyak sehingga memenuhi ruang diantara bumi dan langit melainkan dosa syirik terhadap-Nya!
Zaman kita sekarang ini adalah Zaman Maklumat. Segala sumber ilmu pengetahuan berada di hadapan mata kita.
Internet ini merupakan satu jaringan maklumat yang merangkumi segala rakaman dan simpanan data maklumat yang dimuat naik dari seluruh dunia setiap saat dan ketika dari berbilion bilion manusia.
Ilmu Agama turut tersimpan didalam jaringan maklumat yang dikenali sebagai jaringan internet ini.
Belajarlah. Usah membuang masa.
Jika tuan puan telah sampai ke tahap dimana tuan puan boleh pula sampaikan kepada orang lain tentang ilmu pengetahuan agama dan yang lain-lain, usah menunggu lagi?
Ingat pesanan Nabi?
“Sampaikan lah dariku walau hanya sepotong ayat!”
Jika sekiranya kita ditakdirkan meninggal dunia didalam sesaat dua lagi, sekurang kurangnya kita akan dapat meninggalkan jasa terhadap manusia lain.
Tak begitu tuan puan?
Mudah2an ada manfaat kepada semua.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Visits: 15