April 19, 2024

MAHAGURU58

The Truth must be told no matter what so Justice can live!

Dilema Melayu – Terpaksa memilih antara Agama, Bangsa dan Fahaman Politik.

Saya merujuk kepada suasana serba mencabar bagi orang orang berbangsa Melayu dan beragama Islam hari ini.

Tiba tiba sahaja timbul satu dilema terkini bagi mereka yang mengaku berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Disuruh memilih diantara kepentingan kebangsaan atau kepentingan agama. Suasana ini timbul bilamana Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Baru) atau nama timangan mengikut sebutan Inggeris nya United Malays National Organisation @ UMNO berhadapan kegentingan penghakisan kuasa politik parti komponen terulung Barisan Nasional iaitu parti politik peneraju pemerintahan negara ini berhadapan dilema siasah politik kerana dituduh mahu menghancurkan reputasi dan nama baik Parti Islam seMalaysia bila mahu berunding dan bermuqabalah dengan salah satu parti komponen Pakatan Rakyat yang kini menerajui Kerajaan Negeri negeri Pulau Pinang, Kedah Darulaman, Kelantan Darul Naim, Perak Darul Ridzuan dan Selangor Darul Ehsan.

Sebelum ini ternyata UMNO tidak hairan sama sekali dengan kehadiran parti PAS didalam kancah arena politik tanahair kerana selesa dengan kelebihan kerusi kerusi ADUN dan Parlimen negara.

Pilihanraya ke 12 merupakan paksi perubahan kepada iklim dan suasana politik tanahair bila warganegara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan memilih untuk memecat BN dari terus berkuasa keatas 4 negeri negeri di Semenanjung Malaysia serta mengekalkan PAS memerintah Kelantan dan melantik Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP, PKR dan PAS memerintah di kesemua negeri negeri berkenaan.

Didalam ertikata sebenar, kebanyakan pemimpin pemimpin parti parti komponen BN seperti Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon dari GERAKAN, Datuk Seri Samy Vellu dari MIC, Datuk Seri Kayveas dari PPP, dan lain lain lagi tidak menang didalam pilihanraya tersebut sekaligus memukul paku terakhir ke keranda politik masing masing.

UMNO menerima pukulan tersangat hebat akibat kebangkitan kuasa rakyat mencatur masa hadapan mereka dengan memilih calon calon parti parti pembangkang tanpa mengira kaum dan agama untuk mengajar BN satu pelajaran yang teramat mahal sekali kosnya!

Buat pertama kalinya 4 negeri semenanjung gugur ke tangan pembangkang dan kini Pakatan Rakyat sedang diuji kekuatan persefahaman politik mereka bila DAP sudah bersuara bertanyakan samada PAS masih setia sehidup semati dengan mereka atau hendak memilih bercerai politik dan kuasa dari Pakatan Rakyat kerana sudah menggatal bersembang dengan kekasih lama UMNO, yang pernah berfasakh dengan Parti Islam seMalaysia pada satu ketika dahulu?

Macam kes gila talak lah pula? Dok asyik teringat cerita cerita lama semasa bersama dibawah sinaran sang rembulan di zaman Datuk Asri? Alih alih kena jatuh talak satu, berpisah sekian lama baru dok mengintai balik kot tepian jendela.

Bangsa Melayu yang terkenal dengan seribu satu kerenah permusuhan politik diantara mereka kini berhadapan cabaran maha hebat didalam sejarah siasah mereka.

Hendak pilih yang mana satu? Agama, Bangsa atau Fahaman politik semasa?

Jika memilih agama Islam nan Maha Suci, dicap sebagai pelampau agama dan fanatik PAS?

Jika dipilih bangsa, maka dicap sebagai UMNO pengamal Assabiyah Laknatullah!

Jadi kebanyakan orang orang Melayu tersangkut didalam dilemma semasa ; ditelan mati emak , diluah mati ayah!

Dalam pada itu, timbul lah pula si Karpal Singh menambah masaalah dengan mempertikaikan kejururan PAS memeterai perjanjian sehidup semati bersama DAP dan PKR didalam mencantas UMNO dan BN dari tampuk pemerintahan negara tercinta ini?

Warganegara bukan Melayu ternyata cemas dan tidak selesa dengan senario politik semasa yang seakan mendorong UMNO dan PAS bergabung menjadi satu raksasa politik Melayu Islam yang akan meminggirkan hak hak mereka yang bukan Melayu dan bukan Islam dari kuasa politik negara, sekaligus mendalamkan lagi jurang keistimewaan antara bangsa dan darjat masing masing didalam rimba politik Malaysia.

Sudah terdengar keluh kesah mereka yang dikategorikan sebagai bukan bumiputera untuk diberi ruang mereka bersuara dan dibela oleh kerajaan yang telah mereka lantik melalui proses Pilihanraya.

Masing masing bertanya kenapa kah mereka didiskriminasi berdasarkan warna kulit masing masing dan tidak mengikut daya keupayaan mereka seperti sepatutnya?

Agak sedih juga hati ini membaca nukilan jiwa nurani mereka yang merasa teraniaya walaupun lahir dibumi bertuah tetapi dilayan seperti rakyat kelas dua, tiga dan seterusnya.

Namun disebalik kebuntuan keadaan semasa dimana pihak pihak berkepentingan terpaksa menggaru kepala, memerah otak mencari rumusan terbaik dari antara pilihan pilihan yang ada untuk merapatkan kembali perhubungan sesama Melayu yang terpisah sekian lama ini kerana satu pihak mementingkan bangsa manakala satu pihak lagi berjuang berlandaskan agama Islam.

Memang janggal dan susah hendak bersatu seteguh yang dikehendaki kerana masing masing tidak rela bertolak ansur barang setitik demi perpaduan Melayu.

PAS perlu berhati hati didalam menyetujui sebarang kerjasama dengan UMNO kerana integriti PAS akan punah ranah sekiranya rakus bersetuju sahaja dengan sebarang lamaran UMNO!

Bila UMNO dan PAS sedia berunding, kedengaran lah pula suara suara sumbang mempersoalkan nawaitu kedua parti politik Melayu yang terbesar didalam negara.

Soalnya siapa yang sudi beralah atau bertolak ansur didalam bab muqabalah ini?

Sanggupkah kedua parti membubarkan parti masing masing dan menubuhkan satu gagsan Melayu Muslim yang berkeupayaan berjihad menegakkan Daulah Islamiyah atau PAS mengalami nasib bini tua bila timbul pula bini baru gemerlap bercahaya?

Kita tengok tengok siapa yang kena nanti?

Visits: 0